Mendirikan pohon Ranyai merupakan suatu kewajiban di rumah panjang semasa Gawai Dayak. Pohon Ranyai diambil daripada pokok pisang atau kayu untuk menggantung serta meletakkan makanan dan minuman termasuk ‘ai pengayu’, iaitu persembahan dari setiap bilik rumah panjang untuk dijamu secara bersama. Ini merupakan simbolik kemeriahan pesta Gawai dan memohon tuah dan berkat daripada petara menurut kepercayaan tradisional masyarakat Iban. Pohon Ranyai juga dikenali sebagai pohon kehidupan.
Bagi Kristian, kita tidak perlu melakukan sesuatu ritual atau mempersembahkan makanan, minuman atau kebendaan untuk memohon berkat daripada Tuhan kita. Kita hanya perlu mencari Tuhan dan memohon melalui doa. Yesus memberitahu kita, “Mintalah sesuatu daripada Allah, maka kamu akan menerimanya. Carilah sesuatu daripada Allah, maka kamu akan mendapatnya. Ketuklah pintu, maka Allah akan membukanya bagi kamu. Hal itu demikian kerana setiap orang yang meminta sesuatu daripada Allah akan menerimanya; setiap orang yang mencari sesuatu daripada Allah akan mendapatnya, dan Allah akan membuka pintu bagi setiap orang yang mengetuknya” (Lukas 11:9-10).
Tuhan hanya menginginkan kita mencari Dia dengan bersungguh-sungguh. Dia tidak memerlukan persembahan dan upacara yang rumit untuk datang kepada-Nya dan memohon sesuatu. Kita hanya datang dan meminta apa sahaja “demi nama-Ku, Aku akan melakukannya” (Yohanes 14:14) selagi “kita memohon apa sahaja yang sesuai dengan kehendak-Nya” (1 Yohanes 5:14).
Apakah permohonan anda daripada Tuhan sempena pesta menuai pada tahun ini? Adakah ia sesuai dengan kehendak Tuhan?