Mungkin ini kelihatan mengejutkan apabila anak-anak tidak mencontohi iman ibu bapa mereka di dalam Tuhan. Keadaan ini juga tidak dijangkakan jika seseorang yang mempunyai komitmen yang mendalam kepada Kristus berasal daripada keluarga yang tidak beriman. Dalam setiap generasi, setiap orang mempunyai pilihan.
Samuel adalah seorang hamba Tuhan yang hebat dan telah melantik dua orang anak lelakinya, Yoel dan Abia sebagai pemimpin Israel (1 Samuel 8:1-2). Bagaimanapun, mereka tidak mencontohi teladan bapa mereka, sebaliknya kehidupan mereka tercemar dan “hanya mencari keuntungan diri sendiri; mereka menerima rasuah dan menghakimi rakyat dengan tidak adil” (ayat 3). Namun, beberapa tahun kemudian, kita mendapati Heman, anak Yoel, dilantik sebagai seorang ahli muzik di rumah Tuhan (1 Tawarikh 6:31-33). Heman, cucu Samuel—bersama Asaf, orang kanannya dan pengarang banyak mazmur—melayani Tuhan dengan menyanyi lagu-lagu gembira (15:16-17).
Walaupun seseorang kelihatan tidak mengendahkan iman yang berharga bagi ibu bapanya, Tuhan masih bekerja. Keadaan ini boleh berubah pada tahun-tahun kemudian, dan benih iman mungkin bertunas dalam generasi yang akan datang.
Bagaimanapun keadaan keluarga kita pada saat ini, kita tahu bahawa “TUHAN itu baik; Dia tetap mengasihi umat-Nya dan setia kepada mereka selama-lamanya.