Saya bukan hamba sesiapa!” Saya berteriak. Pagi itu permintaan keluarga saya sudah melampau ketika saya sedang mencarikan tali leher biru suami saya dengan buru-buru, sementara memberi makan kepada bayi yang menangis, serta mencari-cari alat mainan yang terjatuh di bawah katil untuk anak kami yang berusia 2 tahun.
Kemudian pada hari itu, sewaktu saya membaca Alkitab, saya menemui ayat ini: “Siapakah yang lebih mulia, orang yang duduk makan atau orang yang melayani dia? Tentu orang yang duduk makan. Tetapi Aku ada antara kamu sebagai orang melayan” (Lukas 22:27).
Yesus tidak perlu membasuh kaki para pengikut-Nya, tetapi Dia melakukannya (Yohanes 13:5). Ada hamba-hamba yang melakukan kerja itu, tetapi Yesus memilih untuk melayani mereka. Masyarakat masa kini menegakkan bahawa kita harus bertekad untuk “menjadi orang penting.” Kita ingin bayaran gaji yang terbaik, jawatan tertinggi dalam syarikat, kepimpinan terpenting dalam gereja. Namun apa pun kedudukan kita, kita boleh belajar daripada Penyelamat kita untuk melayani orang.
Kita memegang peranan yang berbeza sebagai ibu bapa, anak-anak, rakan, pekerja, pemimpin, atau pelajar. Persoalannya: Adakah kita menjalankan peranan itu dengan sikap melayan? Walaupun rutin harian saya kadangkala meletihkan, saya bersyukur bahawa Tuan akan membantu saya kerana saya ingin mengikuti langkah-langkah-Nya dan melayani orang lain dengan sukarela.
Semoga Tuhan membantu kita melakukannya setiap hari.