Dalam 800 tahun yang lalu atau tahun-tahun berikutnya, satu adat baharu telah ditambah dalam majlis perkahwinan Yahudi.Pada akhir majlis, pengantin lelaki menghancurkan sebuah gelas wain di bawah kakinya. Satu penjelasan untuk amalan ini ialah kaca yang berkecai melambangkan kemusnahan Rumah Tuhan pada 70 TM. Pasangan muda digalakkan untuk mengingatkan peristiwa ini, bahawa ketika mereka membina rumah tangga mereka sendiri, Rumah Tuhan telah dimusnahkan.

Namun Tuhan bukannya tiada tempat tinggal. Dia baru sahaja memilih tempat tinggal yang baharu—dalam kita, pengikut-Nya. Dalam metafora Kitab Suci, orang percaya digambarkan sebagai pengantin perempuan Kristus dan tempat kediaman Tuhan. Tuhan mengumpulkan umat-Nya untuk bersamasama membina rumah baharu yang akan menjadi tempat kediaman kekal-Nya. Pada masa yang sama, Dia sedang menyediakan pengantin perempuan dan merancang perkahwinan yang akan meliputi semua keluarga Tuhan sejak permulaan masa.

Peranan kita adalah mudah walaupun kadangkala menyakitkan. Kita bekerjasama dengan Tuhan kerana Dia bekerja dalam diri kita agar menjadikan kita semakin seperti Anak-Nya Yesus. Kemudian pada suatu hari nanti, di majlis perkahwinan yang terbaik itu, Tuhan kita akan mempersembahkan kita sendiri tanpa bintik-bintik atau kedut. Kita akan menjadi suci dan tanpa cacat cela (Efesus 5:27). Perkahwinan ini akan mengakhiri segala kesedihan dan penderitaan.