Sementara menunggu di kawasan pintu Lapangan Terbang Changi Singapura untuk menaiki penerbangan saya, saya
memperhatikan satu keluarga muda—ibu, ayah dan anak lelaki mereka. Kawasan ini agak sesak, dan mereka mencari tempat untuk duduk. Tiba-tiba, anak kecil itu mula menyanyi dengan kuat “Kesukacitaan bagi Dunia” (Joy to the World). Umurnya lebih kurang 6 tahun, jadi saya cukup kagum bahawa dia tahu semua lirik lagu itu.
Apa yang lebih menarik perhatian saya ialah wajah anak itu—mukanya tersenyum berseri-seri sepadan dengan perkataan yang dinyanyikannya sementara dia mengumumkan kegembiraannya tentang kedatangan Kristus kepada semua orang di pintu itu.
Kegembiraan ini tidak terhad kepada anak-anak yang bersemangat dan tidak terbatas pada musim Krismas. Kegembiraan yang melimpah daripada mengetahui kehadiran Kristus dalam kehidupan kita merupakan salah satu tema pengajaran terakhir Yesus dengan pengikut-pengikut-Nya, pada malam sebelum Dia mati di atas salib. Dia memberitahu mereka akan kasih-Nya yang melimpah ruah untuk mereka—Dia mengasihi mereka seperti Bapa mengasihi-Nya (Yohanes 15:9). Selepas berkongsi apa itu hubungan yang kekal, Yesus berkata, “Semua ini Aku katakan kepada kamu supaya kegembiraan-Ku ada di dalam hati kamu dan kegembiraan kamu menjadi sempurna” (Ayat 11).
Inilah janji yang hebat! Melalui Yesus Kristus, hati kita boleh dipenuhi dengan kegembiraan—kegembiraan sejati!
