Dalam bukunya The Problem of Pain (Masalah Kesakitan), C. S. Lewis memerhatikan bahawa “Tuhan berbisik dalam keseronokan kita, berfirman dalam hati nurani kita, tetapi menjerit dalam kesakitan kita: Ini adalah megafon-Nya untuk membangkitkan dunia yang pekak.” Penderitaan sering membantu untuk mengembalikan tumpuan kita. Ia mengalihkan pemikiran kita dari keadaan sekitar supaya kita boleh mendengar Tuhan mengenai pekerjaan-Nya dalam kehidupan kita. Hidup kita yang sehari-hari diubah menjadi suatu pelajaran iman.
Dalam Perjanjian Lama, kita membaca bagaimana para pemazmur menjaga hati mereka supaya sentiasa dapat diajar, walaupun semasa dalam keadaan yang menyakitkan. Dia menerima segala kesakitan ini sebagai karya Tuhan, dan dalam penyerahan dia berdoa, “Engkau menghukum aku kerana Engkau setia” (Mazmur 119:75). Nabi Yesaya melihat penderitaan sebagai proses pemurnian: “Aku telah menguji kamu dengan api kesengsaraan, seperti perak diuji di dalam relau” (Yesaya 48:10). Dan Ayub, meskipun meratap, dia belajar tentang kedaulatan dan kebesaran Tuhan melalui masalahnya (Ayub 40–42).
Kita tidak keseorangan dalam pengalaman kesakitan kita. Tuhan sendiri telah menjadi manusia dan mengalami penderitaan yang dahsyat: “Untuk hal inilah Allah memanggil kamu, kerana Kristus sendiri sudah menanggung penderitaan untuk kamu, dan memberi kamu satu teladan, supaya kamu mengikut jejak-Nya” (1 Petrus 2:21). Tuhan yang tangan-Nya berparut paku mendekati kita. Dia akan menghibur dan mengajar kita dalam penderitaan kita.