Ini upacara pengebumian yang indah!” Cindy berkata sementara kami berjalan keluar. Helen, kawan kami, telah meninggal dunia. Kawan demi kawan merayakan dia dengan berkongsi cerita tentang keperibadiannya yang selalu membawa keseronokan. Tetapi hidup Helen tidak selalu penuh dengan jenaka dan ketawa. Anak saudaranya berkongsi tentang imannya dalam Yesus dan keperihatinannya terhadap orang lain. Helen menyambut dia ke keluarganya ketika dia masih kecil dan menghadapi banyak pergelutan. Sekarang dalam usia dua puluhan, dia berkata mengenai mak ciknya, Helen, “Dia seperti seorang ibu bagi saya. Dia tidak pernah berputus asa dengan saya ketika saya dalam pergelutan. Saya yakin bahawa jika bukan dia, saya akan kehilangan iman saya.” Wau! Amat berpengaruh! Helen bersandar kepada Yesus dan mahu anak saudaranya juga percaya kepada Dia.
Dalam Perjanjian Lama, kita membaca bahawa Raja Daud menyambut seorang lelaki muda bernama Mefiboset ke dalam rumahnya dengan tujuan untuk memberikan kebaikan kepada dia demi bapanya, Yonatan (kawan Daud yang telah mati; lihat 2 Samuel 9:1). Beberapa tahun sebelum itu, Mefiboset telah cedera ketika pengasuhnya terjatuhkan dia semasa mereka melarikan diri selepas mendengar berita kematian bapanya (4:4). Dia terkejut bahawa raja akan menjaga dia; bahkan dia merujuk diri sendiri sebagai “anjing mati” (9:8). Namun raja menganggap dia seperti anak sendiri (9:11).
Saya ingin menjadi orang seperti itu, tidakkah anda? Seseorang yang mengambil berat terhadap orang lain dan membantu mereka memegang iman mereka dalam Yesus dengan teguh walaupun hidup kelihatan tanpa harapan.