Pada tahun 1920, Bobby Jones menguasai dunia golf, walaupun dia seorang amatur. Dalam sebuah filem mengenai hidupnya, Bobby Jones: Stroke of Genius, suatu adegan menunjukkan seorang pemain golf profesional bertanya bila Bobby akan berhenti menjadi amatur dan bermain untuk wang seperti orang lain. Jones menjawab dengan menjelaskan bahawa perkataan bahasa Inggeris, amateur berasal daripada bahasa Latin amo—mengasihi. Jawapannya sangat jelas: Dia bermain golf kerana dia menyukai permainan itu.
Motif kita, atau sebab kita melakukan apa yang kita lakukan, membawa perbezaan. Ini sudah tentu berkaitan kepada mereka yang mengikut Yesus Kristus. Paulus memberi kita satu contoh ini dalam suratnya kepada jemaah di Korintus. Sepanjang surat itu dia mempertahankan kelakuan, keperibadiannya, dan dipanggil sebagai rasul Kristus. Sebagai tindak balas kepada mereka yang mempersoalkan motif pelayanannya, Paulus berkata, “Kami dikuasai oleh kasih Kristus; kami sedar bahawa satu orang, iaitu Yesus Kristus sudah mati untuk semua orang. Hal ini bererti bahawa semua orang juga sudah mati secara rohani. Kristus mati untuk semua orang, supaya orang yang hidup tidak lagi hidup untuk diri sendiri, melainkan untuk Dia yang sudah mati dan dibangkitkan untuk kebaikan mereka” (2 Korintus 5:14-15).
Kasih Kristus adalah yang terhebat daripada semua pendorong lain. Ini menyebabkan mereka yang mengikut Dia hidup bagi-Nya, bukan untuk diri mereka sendiri.