Beberapa tahun yang lalu, seorang kawan dan saya bertolak untuk mendaki Gunung Whitney. Pada ketinggian 4421 meter, ia adalah gunung tertinggi di sempadan Amerika Syarikat. Kami tiba di Whitney Portal pada satu lewat malam, menyediakan beg tidur kami di tapak perkhemahan, dan cuba tidur untuk sebentar sebelum kami memulakan pendakian kami pada awal pagi. Gunung Whitney tidak memerlukan pendakian teknikal, tetapi perjalanan itu sangat panjang dan meletihkan —17 kilometer pendakian tanpa henti-henti.

Walaupun pendakian ini sukar, namun ia sangat menggembirakan, tambahan lagi dengan pemandangan yang menakjubkan, tasik biru yang indah, serta padang rumput yang subur di sepanjang jalan. Tetapi denai itu bertambah panjang dan meletihkan, satu ujian untuk kaki dan paru-paru para pendaki. Saya pernah berfikir untuk berpatah balik sementara hari terus berlalu dan denai seolah-olah tidak berhujung di hadapan kita.

Bagaimanapun, sekali-sekala, saya memandang sepintas lalu terhadap kemuncak gunung dan menyedari bahawa setiap langkah membawa saya semakin dekat. Jika saya terus berjalan, saya akan sampai ke sana. Itulah pemikiran yang membuat saya terus berjalan.

Paulus meyakinkan kita, “ … masa kita diselamatkan lebih dekat sekarang ini daripada masa kita mula percaya” (Roma 13:11). Setiap hari membawa kita sehari lebih dekat dengan hari besar apabila kita akan “mencapai kemuncak gunung” dan melihat wajah Penyelamat kita. Itulah pemikiran yang dapat membuat kita terus berjalan.