Doktor-doktor yang saya kenal adalah pintar, bekerja keras dan penuh belas kasihan. Banyak kali, mereka telah melegakan penderitaan saya, dan saya berterima kasih atas kepakaran mereka dalam mengesan penyakit, memberikan ubat, membetulkan tulang patah dan menjahit luka. Tetapi ini tidak bermakna saya meletakkan kepercayaan saya kepada para pakar perubatan dan bukannya kepada Tuhan.
Atas sebab yang hanya diketahui oleh Tuhan, Dia melantik manusia menjadi kawan-Nya dan berkongsi dalam kerja-kerja penjagaan penciptaan (Kejadian 2:15), dan doktor adalah antara mereka. Doktor mengkaji sains perubatan dan belajar cara Tuhan membentuk tubuh. Mereka menggunakan pengetahuan ini untuk membantu memulihkan kesihatan kita. Tetapi hanya satu sebab bahawa doktor boleh melakukan apa sahaja untuk menjadikan kita lebih baik adalah kerana Tuhan mencipta kita dengan keupayaan untuk sembuh. Pakar bedah menjadi tidak berguna jika luka luaran badan kita tidak sembuh.
Ahli-ahli sains boleh belajar cara Tuhan mencipta tubuh kita, dan mereka merancang terapi untuk memulih atau menyembuhkan kita, tetapi mereka bukan penyembuh; hanya Tuhan penyembuh kita (Keluaran 15:26). Doktor hanya bekerjasama dengan maksud dan niat asal Tuhan.
Jadi saya bersyukur untuk sains dan doktor, tetapi pujian dan kesyukuran saya didedikasikan kepada Tuhan, yang membentuk cakerawala dengan teratur dan mencipta kita dengan fikiran yang boleh mengetahui bagaimana ia berfungsi. Oleh sebab itu, saya percaya bahawa semua penyembuhan adalah ilahi kerana tiada penyembuhan berlaku tanpa Tuhan.