Kami benar-benar terperangkap! Sementara saya meletakkan kalungan bunga di tempat kubur ibu bapa saya, suami saya meletakkan kereta di tepi jalan untuk membolehkan kereta lain lalu. Hujan telah turun selama berminggu-minggu dan kawasan tempat letak kereta berlumpur. Apabila kami bersedia untuk meninggalkan tempat itu, kereta kami tersekat. Roda berputar, tetapi ia tenggelam lebih mendalam.

Kami tidak boleh pergi tanpa menolak kereta, tetapi bahu suami saya tercedera, dan saya baharu sahaja keluar dari hospital. Kami memerlukan bantuan! Dari jauh saya melihat dua orang lelaki muda, dan mereka menjawab dengan gembira kepada lambaian mendesak dan teriakan saya. Syukurlah dengan bantuan mereka, kami berjaya menolak kereta itu kembali ke jalan

Mazmur 40 menceritakan kesetiaan Tuhan apabila Daud berseru meminta tolong. “Aku menanti pertolongan TUHAN dengan sabar, lalu Dia … mendengar seruanku. Dia menarik aku dari lubang yang berbahaya, dari paya yang berlumpur” (ayat 2-3). Sama ada mazmur ini merujuk kepada sebuah lubang sebenar atau keadaan yang mencabar, Daud tahu bahawa dia sentiasa boleh bergantung kepada Tuhan agar diselamatkan.

Tuhan juga akan menolong kita apabila kita berseru kepada-Nya. Kadangkala Dia campur tangan dengan langsung, tetapi lebih kerap Dia bekerja melalui orang lain. Apabila kita mengakui keperluan kita kepada-Nya—dan mungkin kepada orang lain—kita boleh bersandar kepada kesetiaan-Nya.