Saya telah membentangkan beberapa jaring landskap di halaman rumah, tempat yang saya akan menyebarkan batu hiasan. Sementara saya bersiap untuk menyelesaikan kerja-kerja itu, saya ternampak seekor tupai tersangkut pada jaring itu.
Saya memakai sarung tangan dan mula memotong jaring itu dengan hati-hati. Binatang kecil ini tidak suka dengan saya. Kaki belakangnya menendang dan cuba menggigit saya. Dengan tenang saya berkata kepadanya, “Saya tidak akan menyakiti kamu, kawan. Tenanglah sahaja.” Tetapi ia tidak faham, jadi dalam ketakutan binatang ini melawan. Akhirnya saya menggunting gelung terakhir yang menyekat tupai tanah itu lalu melepaskannya pergi.
Kadang-kadang manusia merasa terikat dan bertindak balas dalam ketakutan terhadap Tuhan. Sepanjang berabad-abad, Dia telah menawarkan penyelamatan dan harapan kepada manusia—tetapi kita menentang Dia, tidak memahami pertolongan yang disediakan-Nya. Dalam Yesaya 41, nabi Yesaya memetik kata-kata Tuhan ini, “Akulah TUHAN, Allah kamu; Aku menguatkan kamu dan berfirman, ‘Jangan takut, Aku akan menolong kamu’ ” (ayat 13).
Apabila anda memikirkan situasi anda, bagaimanakah anda melihat peranan Tuhan? Adakah anda takut menyerahkan perkara-perkara anda kepada-Nya—kerana takut yang Dia mungkin membahayakan anda? Dia adalah baik dan dekat, Dia mahu membebaskan anda daripada kekusutan hidup. Anda boleh mempercayai-Nya dengan hidup anda.