Teka-teki ini membingungkan saya: Apakah yang lebih hebat daripada Tuhan—dan lebih jahat daripada syaitan? Golongan miskin memilikinya. Orang kaya memerlukannya. Jika anda makannya, anda akan mati.
Saya tidak dapat menyelesaikan teka-teki ini kerana perhatian saya teralih daripada jawapan yang jelas ini: “Tiada apa-apa.”
Teka-teki ini mengingatkan saya satu lagi ujian kecerdasan yang lebih sukar diselesaikan ketika ia mula-mula diutarakan. Seorang lelaki purba yang bijak bernama Agur bertanya: “Siapa pernah naik turun syurga? Siapa pernah menggenggam angin, atau membungkus air dengan kain, ataupun menentukan batas-batas bumi? Siapakah namanya, dan siapakah anaknya? Pasti engkau tahu” (Amsal 30:4).
Hari ini, kita tahu jawapan bagi soalan-soalan itu. Tetapi kadangkala apabila kita berada di tengah-tengah persoalan, kebimbangan dan keperluan hidup, kita mungkin akan terlepas jawapan yang jelas. Butir-butir kehidupan mudah mengalihkan perhatian kita daripada Dia yang boleh menjawab teka-teki yang paling penting: Siapakah Peribadi yang bersatu dengan Tuhan; lebih berkuasa daripada Iblis; yang miskin boleh memiliki-Nya; yang kaya memerlukan-Nya; dan jika anda makan dan minum dari meja-Nya, anda tidak akan mati? Yesus Kristus, Tuhan.