Apabila anak lelaki saya mula menghadiri kelas bahasa Cina, saya kagum dengan kerja rumah yang dibawanya pulang selepas sesi pertama. Sebagai penutur asli bahasa Inggeris, ia adalah sukar bagi saya untuk memahami bahawa karakter-karakter bertulis itu berkaitan dengan kata-kata yang dituturkan. Bahasa itu seolah-olah sangat rumit bagi saya—hampir tidak boleh difahami.

Kadang-kadang saya berasa kebingungan yang sama apabila saya berfikir cara Tuhan bekerja. Saya tahu Dia telah berkata, “Fikiran-Ku bukan seperti fikiran kamu, jalan-Ku bukan seperti jalan kamu” (Yesaya 55:8). Namun, ada sebahagian daripada saya ingin berfikir bahawa saya sepatutnya dapat memahami sebab Tuhan membenarkan perkara-perkara tertentu berlaku. Lagipun, saya selalu membaca firman-Nya dan Roh Kudus-Nya tinggal di dalam saya.

Apabila saya berasa berhak untuk memahami jalan Tuhan, saya cuba memikirkan semula dengan rendah hati. Saya ingat bahawa Ayub tidak mendapat penjelasan bagi segala perkara yang menyakitkan hatinya (Ayub 1:5,8). Dia bergelut untuk memahami segala hal, tetapi Tuhan bertanya kepadanya: “Ayub, engkau menentang Allah Yang Maha Kuasa; mahukah engkau mengalah, atau mahukah engkau membantah?” (40:2). Ayub menjawab dengan penuh sesal, “Jawapan apakah yang dapat aku berikan? Tiada lagi yang hendak aku katakan” (ayat 4). Ayub tidak dapat berkata-kata di hadapan kebesaran Tuhan.

Walaupun cara Tuhan mungkin kelihatan misteri dan ada kalanya tidak dapat diduga, namun kita boleh percaya dengan penuh keyakinan bahawa jalan-Nya lebih baik daripada jalan kita.