Saya menelefon seorang kawan lama apabila ibunya meninggal dunia. Dia ialah kawan rapat ibu saya, dan kini kedua-duanya telah meninggal dunia. Ketika kami bercakap, perbualan kami dengan mudah menjadi emosi—air mata kesedihan atas pemergian Beth kini bercampur dengan air mata ketawa ketika kami mengingatkan kembali dia seorang yang penyayang dan menyeronokkan.

Ramai di antara kita telah mengalami peralihan yang aneh. Satu ketika ini kita mungkin menangis, namun seterusnya kita akan ketawa. Ia merupakan satu kurnia yang menakjubkan bahawa melalui cara ini, kedua-dua emosi kesedihan dan kegembiraan boleh memberi kelegaan fizikal.

Oleh kerana kita diciptakan menurut gambar Tuhan (Kejadian 1:26), dan kelucuan ialah satu sifat yang penting hampir dalam setiap budaya, maka saya membayangkan bahawa Yesus pasti mempunyai rasa lucu yang indah. Tetapi kita tahu bahawa Dia juga memahami kesakitan yang disebabkan oleh kesedihan. Apabila kawan-Nya Lazarus meninggal dunia, Yesus melihat Maria menangis, dan Dia “sedih hati dan terharu.” Tidak lama kemudian, Dia menangis (Yohanes 11:33-35).

Kemampuan kita untuk meluahkan emosi dengan air mata adalah satu kurnia, dan Tuhan memperhatikan setiap air mata tangisan kita. Mazmur 56:9 berkata, “Engkau tahu betapa cemasnya hatiku; Engkau tahu betapa banyaknya air mataku. Bukankah semuanya itu tercatat di dalam kitab-Mu?” Tetapi suatu hari—kita dijanjikan (Wahyu 7:17)— Tuhan “akan menyapu air mata (kita).”