Selama lebih daripada dua dekad, Andrew Carroll menggesa orang agar mereka tidak membuang surat-surat yang ditulis oleh ahli-ahli keluarga atau kawan-kawan mereka semasa peperangan. Sebagai pengarah bagi Pusat Surat Peperangan Amerika di Universiti Chapman, California, Carroll berpendapat bahawa semua surat pada waktu itu ialah ikatan yang tidak dapat diganti untuk menyatukan dan memberikan kefahaman antara ahli-ahli keluarga. “Kini generasi yang lebih muda membaca surat-surat itu,” kata Carroll, “dan mereka mengajukan soalan-soalan dan berkata, ‘Sekarang saya faham apa yang telah anda alami dan korbankan.’ ”
Ketika Rasul Paulus dipenjarakan di Roma dan dia menyedari bahawa tidak lama lagi dia akan meninggal, dia menulis sepucuk surat kepada seorang pemuda yang bernama Timotius, yang dianggapnya sebagai “anak dalam iman.” Bagaikan seorang askar di medan perang, Paulus meluahkan isi hatinya kepada Timotius: “Tidak lama lagi aku meninggalkan dunia ini. Aku sudah berusaha dengan sebaik-baiknya dalam perlumbaan dan aku sudah sampai di garis akhir. Aku tetap setia kepada Kristus sampai akhir. Sekarang hadiah kemenangan menantikan aku. Pada Hari Kiamat, Tuhan, Hakim yang adil akan menyerahkan hadiah itu kepadaku, kerana aku telah hidup menurut kehendak-Nya. Bukan aku sahaja yang akan menerimanya, tetapi juga semua orang yang menantikan kedatangan-Nya dengan penuh kerinduan”(2 Timotius 4:6-8).
Apabila kita membaca surat-surat dalam Alkitab mengenai apa yang ditinggalkan oleh para pejuang iman Kristian, serta memahami apa yang dialami mereka kerana kasih mereka kepada Kristus, kita akan memperoleh keberanian untuk mengikut teladan mereka dan tetap teguh demi generasi Kristian yang akan datang.