Beberapa tahun yang lalu, seorang pegawai penasihat kanan presiden tersalah menganggap Jeneral Peter Chiarelli yang berpangkat empat bintang (Jeneral nombor 2 di Tentera Darat Amerika Syarikat pada masa itu) sebagai seorang pelayan waktu majlis makan malam di Rumah Putih, Washington. Sementara jeneral yang berpakaian seragam tersebut berdiri di belakang penasihat kanan itu, dia meminta jeneral tersebut mengambilkan minuman kepadanya. Kemudian penasihat kanan itu sedar akan kesilapannya, tetapi jeneral itu tidak berkecil hati, sebaliknya dengan gembira dia terus menuangkan minuman ke dalam gelas penasihat kanan itu untuk menghilangkan rasa malunya. Jeneral tersebut juga menjemput penasihat itu datang ke rumahnya untuk sesekali makan malam bersama keluarganya.

Perkataan Inggeris gracious (murah hati) berasal daripada perkataan grace (rahmat), dan ini boleh bermaksud tindakan baik budi atau sopan, seperti jeneral tersebut. Namun perkataan itu mempunyai maksud yang lebih mendalam bagi para pengikut Kristus. Kita adalah penerima kemurahan hati—yakni rahmat—yang diberikan oleh Tuhan dengan percuma dan yang amat berharga melalui Anak-Nya, Yesus (Efesus 2:8)

Oleh sebab kita telah menerima rahmat, maka kita hendaklah menunjukkan dalam cara kita memperlakukan orang lain—contohnya dalam pertuturan: “Perkataan orang bijak mendatangkan kehormatan kepada diri mereka” (Pengkhutbah 10:12). Rahmat yang ada di dalam hati kita diluahkan melalui kata-kata dan perbuatan kita (Kolose 3:16-17).

Belajar untuk mencurahkan rahmat dalam hati kita kepada orang lain adalah hasil daripada kehidupan pengikut Yesus Kristus yang dipenuhi Roh Tuhan, yakni pemberi rahmat kita yang agung.