Kebanyakan keluarga mempunyai kisah keluarga mereka sendiri. Salah satu kisah dalam keluarga saya adalah mengenai cara saya mendapatkan nama. Ketika ibu bapa saya baru berkahwin, mereka tidak bersetuju dalam hal menamakan anak lelaki sulung mereka. Ibu saya hendak menamakan anak lelakinya sempena nama bapa saya, tetapi bapa saya pula tidak suka nama anak lelakinya disertakan “Junior” (yang bermaksud “lebih muda”). Selepas lama berbincang, mereka pun memutuskan bahawa jika anak lelaki sulung mereka lahir pada hari jadi bapa saya, maka dia diberikan nama sempena nama bapa. Sungguh mengagumkan, saya dilahirkan pada hari jadi bapa saya. Jadi nama saya pun ditambahkan “Junior” sempena nama bapa saya.
Tradisi menamakan anak mempunyai sejarah yang panjang. Ketika Yusuf bergelut tentang berita bahawa tunangnya, Maria, telah mengandung kerana kuasa Roh Kudus, malaikat menampakkan diri dalam mimpinya serta membawa pesan daripada Tuhan Bapa tentang memberi nama kepada Bayi itu. “Maria akan melahirkan seorang anak lelaki. Anak itu harus engkau namakan Yesus, kerana Dia akan menyelamatkan umat-Nya daripada dosa mereka” (Matius 1:21). Bukan setakat Dia diberikan nama “Yesus”, tetapi nama itu juga boleh menjelaskan sebab Dia datang ke dunia ini: Dia menerima hukuman yang sepatutnya dijatuhkan kepada kita kerana dosa-dosa kita. Nama yang sempurna ini mengandungi rancangan penebusan-Nya di sebalik palung, nama-Nya berkuasa atas segala nama yang lain!
Semoga hati kita rela hidup untuk memuliakan nama Yesus yang menakjubkan itu!