Jen duduk di halaman rumahnya merenungkan satu soalan yang menakutkan: Haruskah dia menulis sebuah buku? Dia suka menulis blog dan berucap di khalayak ramai, tetapi dia berasa bahawa mungkin Tuhan menghendaki dia melakukan sesuatu yang lebih daripada itu. Katanya, “Saya berdoa kepada Tuhan jika Dia menghendaki saya melakukan hal ini.” Dia pun berdoa dan meminta bimbingan Tuhan.
Dia mula tertanya-tanya jika Tuhan mahu dia menulis tentang ketagihan suaminya terhadap pornografi dan bagaimana Tuhan mengubah kehidupan suaminya dan keluarga mereka. Tetapi Jen berfikir mungkin hal itu akan menyebabkan suaminya menanggung malu di khalayak ramai. Jadi dia berdoa, “Mungkinkah suami dan saya boleh menulis buku itu bersama-sama?” Kemudian apabila dia bertanya kepada suaminya, Craig, dia setuju.
Walaupun Raja Daud tidak mengatakan dosa yang dilakukannya, dia mengakui pergelutan peribadinya di khalayak ramai. Malah dia menuliskan hal ini dalam mazmur, “Ketika aku tidak mengakui dosaku, aku letih kerana menangis sepanjang hari” (Mazmur 32:3). Jadi dia berkata, “Aku mengambil keputusan untuk mengakui dosaku kepada-Mu” (ayat 5). Tidak semestinya setiap orang harus mengakui pergelutan peribadi mereka di khalayak ramai. Tetapi apabila Raja Daud mengakui dosanya, dia memperoleh kedamaian dan kesembuhan yang mengilhami dia untuk menyembah Tuhan.
Craig dan Jen mengakui bahawa proses penulisan kisah mereka yang sangat peribadi itu telah semakin merapatkan hubungan mereka. Tuhan juga suka menukarkan rasa bersalah, keaiban dan kesunyian kita kepada pengampunan, keberanian dan komuniti-Nya!