Saya menerima sekeping risalah daripada seorang kawan yang bertajuk “Perkongsian Tentang Kisah Hubungan dengan Tuhan selama 86 Tahun.” Dalam risalah itu, penulisnya, Al Ackenheil menulis mengenai kehidupan orang dan peristiwa-peristiwa yang utama dalam perjalanan iman penulis selama hampir sembilan dekad. Pilihan hidup yang kelihatan sederhana ketika menghafal ayat-ayat Alkitab, menghadiri perjumpaan doa, menceritakan Yesus kepada jiran-jirannya, telah menjadi titik penting yang mengubah arah hidup penulis. Saya terpesona setelah membaca bimbingan Tuhan dalam kehidupan Al melalui risalah itu.
Pemazmur menulis, “TUHAN memimpin orang ke jalan yang harus ditempuhnya dan melindungi orang yang diperkenankan-Nya” (Mazmur 37:23). Seterusnya petikan itu dilanjutkan dengan huraian indah tentang penjagaan TUHAN yang setia bagi setiap orang yang mahu berjalan bersama-Nya. Bunyinya, “Mereka menyimpan Taurat Allah dalam hati dan tidak menyimpang daripadanya” (ayat 31).
Kita masing-masing pun boleh menulis sebuah catatan tentang pimpinan dan kesetiaan Tuhan, yang menggambarkan bimbingan Tuhan—orang, tempat dan pengalaman yang merupakan peristiwa penting dalam jalan iman kita. Setiap ingatan akan kebaikan Tuhan menggalakkan kita untuk terus berjalan bersama-Nya dan berterima kasih kepada seseorang yang telah memberi pengaruh baik kepada kita.
Tuhan membimbing dan menjaga setiap orang yang berjalan bersama-Nya.