Ketika saya belajar menulis huruf, guru darjah 1 saya menegaskan bahawa saya harus memegang pensel mengikut cara tertentu. Saya memegang pensel itu seperti yang disuruhnya ketika dia mengawasi saya. Tetapi apabila dia tidak memberikan perhatian, saya terus memegang pensel itu mengikut cara yang saya rasa selesa. Saya sangka saya ialah “pemenang rahsia” dalam pertarungan kehendak sendiri, dan saya masih memegang pensel mengikut cara sendiri. Bagaimanapun, berdekad-dekad kemudian, saya sedar bahawa guru saya mengetahui kebiasaan degil saya itu akan menjadi kebiasaan memegang pensel yang buruk, kerana kini tangan saya terasa lebih cepat letih.
Anak-anak jarang sekali boleh memahami apa yang baik untuk mereka. Mereka hanya berfikir apa yang dikehendaki mereka. Barangkali umat Israel sesuai dinamakan sebagai “anak-anak (bangsa) Israel” kerana inilah generasi sepanjang zaman yang degil, serta terus-menerus menyembah tuhan-tuhan asing di sekeliling mereka dan bukan menyembah TuhanYang Esa. Kelakuan mereka sangat memurkakan Tuhan kerana Tuhan mengetahui apa yang terbaik untuk mereka, maka Tuhan menarik balik berkat-Nya daripada mereka (Hakim-Hakim 2:20-22).
Pastor Rick Warren berkata, “Ketaatan dan kedegilan ialah dua permukaan pada sekeping syiling. Ketaatan membawa sukacita kepada kita, tetapi kedegilan membuatkan kita sengsara.”
Jika jiwa yang memberontak telah menghalang kita mentaati Tuhan, inilah masanya kita mengubah hati dan mentaati Dia. Kembalilah kepada Dia—Tuhan yang penuh rahmat dan belas kasihan.