Yoni Lefevre, seorang seniman berbangsa Belanda telah merancang satu projek yang disebut “Kekuatan Orang Tua,” untuk menunjukkan kekuatan generasi tua di Belanda. Dia menyuruh kanak-kanak tempatan melukis gambar datuk dan nenek mereka. Lefevre ingin menunjukkan “pandangan yang jujur dan murni” mengenai warga-warga emas, dan dia yakin bahawa kanak-kanak boleh membantu membekalkan pandangan itu. Lukisan-lukisan kanak-kanak mencerminkan suatu pandangan yang penuh tenaga dan ceria daripada datuk dan nenek mereka—lukisan datuk dan nenek menunjukkan bahawa mereka sedang bermain tenis, berkebun, melukis dan banyak lagi!

Kaleb, orang Israel pada zaman kuno, merupakan seorang yang kuat walaupun umurnya lanjut. Waktu dia seorang muda, dia menyusup masuk ke Tanah Perjanjian sebelum orang Israel menawannya. Kaleb percaya bahawa Tuhan akan menolong bangsanya untuk mengalahkan orang Kanaan, tetapi para pengintip lain tidak bersetuju dengannya (Yosua 14:8). Oleh sebab iman Kaleb, Tuhan menampung hidupnya selama 45 tahun dengan cara yang menakjubkan, agar dia boleh hidup dalam penggembaraan di padang gurun kemudian masuk ke Tanah Perjanjian. Akhirnya, ketika tiba masa untuk masuk ke Kanaan, Kaleb yang berumur 85 tahun berkata, “Saya masih kuat” (ayat 11). Dengan pertolongan Tuhan, Kaleb berjaya menawan dan memiliki bahagian tanahnya (Bilangan 14:24).

Tuhan tidak melupakan kita apabila kita menjadi semakin tua. Sungguhpun badan dan kesihatan kita akan semakin merosot, Roh Kudus Tuhan memperbaharui batin kita setiap hari (2 Korintus 4:16). Dia membolehkan hidup kita bermakna pada setiap peringkat dan umur.