Cerita dalam filem Amazing Grace (Sangat Besar Anugerah-Mu) berlaku pada penghujung tahun 1700-an. Ceritanya berkisah tentang William Wilberforce, seorang ahli politik yang menyumbangkan wang dan tenaganya untuk menghapuskan perhambaan di negara England, kerana dia didorong oleh imannya dalam Kristus. Dalam satu babak filem itu, ketua pembantu rumah Wilberforce mendapati dia sedang berdoa. Maka dia bertanya, “Adakah Tuan menemui Tuhan?” Wilberforce menjawab, “Saya fikir Tuhan yang telah menemui saya.”

Alkitab menggambarkan manusia sebagai domba yang mengembara dan tidak terkawal. “Dahulu kita semua seperti domba yang sesat, masing-masing mengikut jalan sendiri” (Yesaya 53:6). Sesungguhnya, keadaan yang mengikut jalan sendiri ini telah tertanam dalam diri kita seperti dikatakan oleh Paulus: “Tidak seorang pun yang benar di sisi Allah, tidak seorang pun yang memahami apa yang benar, dan tidak seorang pun menyembah Allah. Semua orang sudah menjauhkan diri daripada Allah; semuanya sudah sesat. Tidak seorang pun berbuat benar; seorang pun tidak!” (Roma 3:10-12). Itulah sebabnya Yesus datang. Kita tidak akan mencari-Nya. Maka Yesus datang untuk mencari kita. Yesus mengisytiharkan misi-Nya dengan berkata, “Anak Manusia datang untuk mencari dan menyelamatkan orang yang sesat” (Lukas 19:10).

Memang tepat kata-kata Wilberforce. Yesus datang mencari kita, kerana kita tidak akan menemui Dia jika kita dibiarkan sendiri untuk mencari-Nya. Ungkapan kasih Pencipta untuk makhluk-makhluk ciptaan-Nya yang sesat itu adalah jelas bahawa Dia mencari kita dan ingin menjadikan kita milik-Nya.