Seperti ramai orang, apabila saya membaca akhbar atau majalah, saya melihat kesalipan dalam tata bahasa dan ejaan. (Anda melihat itu, bukankah!) Saya tidak cuba mencari kesilapan; ia melompat dari muka surat kepada saya! Reaksi biasa saya adalah mengkritik penerbitan dan orang yang menghasilkannya. “Mengapa mereka tidak menggunakan program ‘semak ejaan’ atau mengupah seorang pembaca pruf?”

Anda mungkin mempunyai pengalaman yang sama dalam bidang kepakaran anda. Sering kali, kelihatan bahawa semakin banyak kita tahu tentang sesuatu, semakin kita bersifat menghakimi terhadap kesilapan. Sifat ini boleh menjangkiti hubungan kita dengan orang juga.

Namun Filipi 1:9 menyatakan pendekatan yang berbeza. Paulus menulis, “Aku berdoa supaya kasih kamu kepada Allah dan sesama manusia terus bertambah, sehingga kamu tahu akan apa yang benar dan dapat membuat pertimbangan yang sempurna.” Perancangan Tuhan adalah lebih banyak kita tahu dan faham, lebih lagi kita mengasihi. Daripada memupuk sikap kritikal dan berpura-pura kita tidak perasan atau tidak peduli, pemahaman kita perlu menyuburkan rasa kasihan. Kritikan digantikan dengan belas kasihan.

Daripada menjadi pencari kesalahan, Tuhan memanggil kita “penuh dengan buah kebenaran yang dikerjakan oleh Yesus Kristus untuk memuliakan dan memuji Allah” (ayat 11, Alkitab TB).

Apabila Tuhan mengisi hati kita, kita boleh melihat kesilapan, menahan kritikan, dan mengasihi orang lain, tidak kira berapa banyak yang kita tahu tentang mereka!