Anak perempuan saya dan saya menganggap kek brownie ialah salah satu tujuh keajaiban dalam dunia masakan. Pada suatu hari, semasa kami mencampurkan bahan-bahan bagi kek coklat kegemaran kami, anak perempuan saya meminta agar saya meninggalkan sedikit adunan di dalam mangkuk selepas menuangkan kebanyakan adunan ke dalam acuan pembakar. Dia ingin menikmati apa yang tersisa. Saya tersenyum dan bersetuju. Kemudian, saya memberitahunya, “Itu dipanggil memungut saki-baki, awak tahu, dan ia tidak bermula dengan kek brownie.”

Sementara kami menikmati sisa-sisa projek membuat kek, saya menjelaskan bahawa Rut telah memungut saki-baki barli sebagai makanan bagi dirinya dan ibu mertuanya Naomi (Rut 2:2-3). Oleh sebab kedua-dua suami mereka telah meninggal, maka kedua-dua wanita ini telah pulang ke tanah air Naomi. Di sana Rut bertemu dengan seorang pemilik tanah yang kaya bernama Boas. Rut memohon kepadanya, “Izinkanlah kiranya saya memungut … di belakang penyabit-penyabit” (ayat 7, Alkitab TB). Dia dengan rela bersetuju dan mengarahkan pekerja-pekerjanya supaya sengaja membiarkan barli jatuh untuknya (ayat 16).

Seperti Boas menyediakan makanan bagi Rut dari tuaian ladangnya yang melimpah-limpah, Tuhan juga memberi kepada kita daripada kelimpahan-Nya. Sumber-Nya tidak terhad, dan Dia membenarkan berkat-berkat turun untuk kebaikan kita. Dia rela memberi kita makanan fizikal dan rohani. Setiap pemberian baik yang kita terima, datang daripada-Nya.