Kata-kata pertama yang suka dipetik oleh ramai orang apabila ditimpa malang adalah: “Kita tahu bahawa Allah mengendalikan segala hal sehingga menghasilkan yang baik bagi orang yang mengasihi Dia” (Roma 8:28). Namun itu sukar dipercayai ketika dalam kesukaran. Saya pernah duduk sebaris dengan seorang lelaki yang telah kehilangan anak lelaki ketiganya, dan saya mendengar sementara dia meratap, “Bagaimana mungkin tragedi ini mendatangkan kebaikan kepada saya?” Saya tidak mempunyai jawapan tetapi hanya duduk dengan senyap dan turut berdukacita dengan dia. Beberapa bulan kemudian, dia bersyukur sambil berkata, “Kesedihan saya menarik saya lebih dekat kepada Tuhan.”

Walaupun Roma 8:28 mungkin sukar difahami, namun tidak terkira banyaknya kesaksian yang mengesahkan kebenarannya. Kisah penulis nyanyian pujian, Fanny Crosby, adalah contoh klasik. Dunia mendapat manfaat daripada lagu-lagu indah yang digubahnya, namun hasil yang baik itu telah lahir daripada tragedi peribadinya, kerana dia menjadi buta pada usia 5 tahun. Ketika baru berumur 8 tahun, dia mula menulis puisi dan lagu gereja. Dia menulis lebih daripada 8,000 lagu gereja dan nyanyian pujian; dia memberkati dunia dengan lagu-lagu popular seperti “Yesusku Jaminan Mulia (Blessed Assurance),” “Sentosa dalam Yesus (Safe in the Arms of Jesus),” dan “Janganlah Kau Tinggalkanku (Pass Me Not).” Tuhan menggunakan kesukaran Fanny untuk membawa kebaikan kepadanya dan kita, serta kemuliaan kepada Tuhan.

Apabila tragedi menimpa kita, tentu sukar untuk memahami bagaimana ia mendatangkan sesuatu yang baik, dan kita tidak akan selalu melihatnya dalam kehidupan ini. Namun Tuhan mempunyai maksud yang baik dan Dia sentiasa bersama-sama kita.