Bayi saya sedang belajar berjalan. Saya perlu memegang dia, dan dia berpaut pada jari saya kerana dia masih berjalan terhuyung-hayang. Dia takut tergelincir, tetapi saya ada untuk menenangkan dan memperhatikannya. Sementara dia berjalan dengan bantuan saya, matanya berkilau dengan kesyukuran, kebahagiaan, dan keselamatan. Tetapi kadang-kadang dia menangis apabila saya tidak membiarkan dia mengikut jalan yang berbahaya, tanpa menyedari bahawa saya sedang melindungi dia.
Seperti bayi perempuan saya, kita sering memerlukan seseorang untuk memperhatikan kita, membimbing dan memantapkan kita dalam perjalanan rohani kita. Kita mempunyai seseorang—Tuhan, Bapa kita—yang menolong anak-anak-Nya belajar berjalan, membimbing langkah kita, memegang tangan kita, dan menjaga kita supaya tetap pada jalan yang benar.
Raja Daud mengetahui bahawa dia memerlukan penjagaan dan pengawasan Tuhan dalam hidupnya. Dalam Mazmur 18 dia menerangkan Tuhan memberikan kita kekuatan dan pimpinan apabila kita sesat atau keliru (ayat 33). Dia mengukuhkan kaki kita, seperti kaki rusa yang boleh mendaki tempat yang tinggi tanpa tergelincir (ayat 34). Jika kita tergelincir, tangan-Nya sedia untuk menolong kita (ayat 36).
Sama ada kita orang Kristian yang baru percaya dan masih belajar berjalan dalam iman, atau kita sudah maju dalam perjalanan kita dengan Tuhan, kita semua memerlukan pimpinan dan pegangan tangan-Nya.