Baru-baru ini, sebuah buku yang memasukkan sedikit unsur fiksyen pada secebis sejarah Amerika Syarikat, telah menggambarkan penembak terhandal zaman Barat Lama, iaitu Wyatt Earp dan Doc Holliday, sebagai orang gelandangan yang malas. Dalam temu bual dengan National Public Radio, penulis berkata tentang Earp yang sebenar, “Dia tidak berbuat apa-apa yang luar biasa sepanjang hidupnya, tidak pernah.” Selama bertahun-tahun, dalam buku dan filem Hollywood, mereka telah menjadi wira. Namun, catatan sejarah yang bereputasi baik menunjukkan bahawa mereka sebenarnya bukan wira.

Sebaliknya, Alkitab penuh dengan orang lemah yang menjadi wira sebenar. Tetapi jangan lupa kuasa penting dalam tindakan berani mereka. Mereka percaya dan bergantung kepada Tuhan, Dia yang memilih manusia lemah untuk tujuan-Nya yang luar biasa.

Musa menonjol dalam kalangan wira-wira Alkitab. Kita sering terlupa bahawa dia seorang pembunuh dan pemimpin yang ragu-ragu, malah dia pernah mengarahkan kata-kata kasar kepada Tuhan: “Mengapakah Engkau tidak memperlakukan aku dengan baik?” katanya. “Mengapakah Engkau menyerahkan tanggungjawab atas semua orang ini kepadaku? Mereka tidak kukandung dan tidak kulahirkan” (Bilangan 11:11-12).

Musa memang manusia biasa! Namun kitab Ibrani mengingatkan kita: “Musa setia sebagai hamba di dalam rumah Allah. Dia berucap tentang hal-hal yang akan difirmankan oleh Allah pada masa hadapan” (Ibrani 3:5).

Wira-wira sebenar menunjukkan kita kepada Wira yang tidak pernah mengecewakan. “Yesus layak mendapat kemuliaan yang jauh lebih besar daripada Musa” (Ibrani 3:3).