Setelah memiliki dan bekerja di sebuah makmal pergigian selama 50 tahun, Dave Bowman merancang untuk bersara dan menjalani kehidupan yang tenang. Kencing manis dan pembedahan jantungnya memperkukuhkan keputusan tersebut. Tetapi apabila dia mendengar tentang sekumpulan pelarian muda dari Sudan yang memerlukan bantuan, dia telah membuat satu keputusan yang mengubah hidupnya. Dia bersetuju untuk menaja kelima-lima mereka.

Semakin Dave mempelajari tentang kehidupan para pemuda Sudan ini, dia mendapat tahu bahawa mereka tidak pernah mendapat rawatan doktor mahupun doktor gigi. Kemudian pada suatu hari di gereja, seorang telah menyebut ayat firman Tuhan ini, “Jika satu anggota tubuh menanggung penderitaan, semua anggota lain menanggung penderitaan juga” (1 Korintus 12:26). Dia tidak dapat melupakan ayat itu. Jemaah Kristian di Sudan menderita kerana mereka memerlukan bantuan perubatan, dan Dave merasakan bahawa Tuhan ingin dia melakukan sesuatu. Tetapi apakah perkara itu?

Walaupun usianya sudah lanjut dan kesihatannya merosot, Dave mula mengorak langkah untuk membina sebuah pusat perubatan di Sudan. Sedikit demi sedikit, Tuhan mula mengumpulkan orang serta keperluan, dan pada tahun 2008, Hospital Memorial Christian mula beroperasi. Sejak itu, ratusan orang yang sakit dan cedera telah dirawat di sana.

Hospital Memorial Christian merupakan lambang peringatan akan kasih Tuhan kepada mereka yang sengsara. Dia selalu bekerja melalui orang seperti kita untuk menyampaikan kasih-Nya—walaupun kita mungkin berfikir bahawa kerja kita sudah selesai.