Dua orang pekerja ditanya tentang apa yang sedang dibina oleh mereka. Seorang berkata bahawa dia sedang membina garaj. Seorang lagi berkata bahawa dia sedang membina sebuah gereja yang besar. Selepas sehari berlalu, tinggal hanya seorang pekerja yang sedang meletakkan bata. Apabila ditanya tentang pekerja kedua, pekerja pertama itu menjawab, “Oh, dia sudah dipecat kerana dia berkeras untuk membina sebuah gereja besar dan bukannya garaj.”
Hal yang serupa berlaku di tapak pembinaan zaman purba Babel. Sekumpulan orang membuat keputusan untuk membina sebuah kota dan menara yang dapat sampai ke syurga untuk menyatukan dunia mereka (Kejadian 11:4). Tetapi Tuhan tidak mahu mereka bekerja untuk rancangan besar yang hanya mementingkan diri sendiri serta memberi gambaran seolah-olah mereka dapat sampai kepada Tuhan dan menyelesaikan semua masalah mereka sendiri. Maka Dia turun, menghentikan projek tersebut, mencerai-beraikan mereka “ke seluruh bumi” dan memberi mereka bahasa yang berbeza-beza (ayat 8-9).
Tuhan ingin manusia melihat Dia sebagai penyelesai segala masalah, dan Dia menunjukkan rancangan-Nya untuk umat-Nya kepada Abraham (12:1-3). Melalui iman Abraham dan keturunannya, Dia memberitahu dunia untuk mencari kota yang “dirancang dan dibina oleh Allah” (Ibrani 11:8-10).
Iman kita tidak berdasarkan impian dan penyelesaian kita. Dasar iman adalah hanya bersandar kepada Tuhan dan perkara yang boleh dilakukan-Nya dalam kita serta melalui kita.