Dr. Brian Goldman mempunyai keinginan yang keterlaluan untuk merawat pesakitnya dengan sempurna. Namun dalam satu siaran rancangan televisyen, dia mengaku akan kesilapan yang pernah dibuatnya. Dia memberitahu bahawa dia pernah merawat seorang wanita di bilik kecemasan kemudian membuat keputusan untuk membenarkan dia pulang. Beberapa waktu kemudian, seorang jururawat bertanya kepadanya, “Doktor, ingat lagi pesakit yang kamu benarkan pulang? Dia telah kembali ke sini.” Pesakit tersebut telah dimasukkan ke hospital semula tetapi meninggal dunia kemudian. Hal ini meremukkan hatinya. Dia giat berusaha lagi untuk menjadi lebih sempurna, namun akhirnya dia menyedar bahawa adalah mustahil untuk mencapai kesempurnaan.

Sebagai orang Kristian, kita mungkin menyimpan harapan yang tidak realistik untuk mencapai kesempurnaan diri sendiri. Namun, walaupun kita mungkin dapat menunjukkan hidup yang seolah-olah tidak bercela, fikiran dan motivasi kita tidak pernah benar-benar murni.

Rasul Yohanes menulis, “Jika kita berkata bahawa kita tidak berdosa, kita menipu diri sendiri, dan Allah tidak ada di dalam hati” (1 Yohanes 1:8). Perbuatan yang menyembunyikan dosa serta berusaha lebih keras bukanlah penyelesaiannya, sebaliknya kita harus berjalan dalam terang kebenaran Tuhan dan mengaku dosa kita. “Tetapi jika kita hidup dalam cahaya” kata Yohanes, “sebagaimana Allah ada dalam cahaya, maka kita hidup rukun dan darah Yesus, Anak-Nya, membersihkan kita daripada segala dosa (ayat 7).

Bagaimana jika orang Kristian dikenali bukan sebagai orang yang suka menyembunyikan dosa, sebaliknya sebagai orang yang mengasihi serta menyokong sesama dengan kebenaran dan rahmat Tuhan? Bagaimana jika kita mempraktikkan kejujuran yang sihat (walaupun berisiko) antara sesama sendiri dan dunia yang selalu memperhatikan kita?