Seorang lelaki sedang menaiki sebuah kereta api di Perth, Australia. Tiba-tiba dia terjatuh dan kakinya tersangkut di ruang antara gerabak kereta api dan landasan stesen. Ramai penumpang segera datang untuk menolongnya. Mereka menggunakan sepenuh tenaga mereka untuk menggerakkan sedikit badan kereta api agar ia menjauhi landasan tersebut, kemudian lelaki yang terperangkap itu pun terlepas! Jurucakap bagi pihak perkhidmatan kereta api itu, David Hynes, berkata dalam temu bual, “Semua orang turut membantu. Kekuatan kumpulan itu yang telah menyelamatkan nyawa seseorang daripada mengalami kecederaan parah.”
Dalam Efesus 4, kita membaca bahawa kekuatan manusia yang bersatu ialah rancangan Tuhan untuk membina keluarga-Nya. Dia sudah memberikan setiap kita suatu kurnia (ayat 7) untuk satu tujuan khas, bahawa “seluruh tubuh itu dihubungkan oleh sendi-sendi yang sudah tersedia. Oleh itu, apabila setiap anggota bekerja dengan sepatutnya, seluruh tubuh itu akan membesar dan menjadi kuat, kerana kasih” (ayat 16).
Setiap orang mempunyai tugas untuk dilaksanakan dalam keluarga Tuhan; tidak ada penonton. Dalam keluarga Tuhan kita sama-sama menangis dan ketawa. Kita menanggung beban satu sama lain. Kita berdoa serta saling mendorong. Kita mencabar dan menolong sesama kita untuk berpaling daripada dosa. Tunjukkanlah kepada kami, ya Bapa, peranan kami dalam menolong keluarga-Mu pada hari ini.