Semasa saya membesar pada zaman 1950-an, biasanya saya akan menghadiri pertunjukan siang pada hari Sabtu di sebuah pawagam berdekatan. Selain menayangkan kartun dan sebuah filem utama, terdapat satu siri pengembaraan yang selalu berakhir dengan watak utama lelaki atau perempuan menghadapi suatu situasi yang sukar. Seolah-olah tiada jalan keluar, tetapi setiap episod diakhiri dengan perkataan “Bersambung … ”

Rasul Paulus selalunya menghadapi situasi sukar yang membahayakan nyawanya. Dia telah dipenjarakan, dipukul, dibaling batu, dan kapal karam semasa dia mengkhabarkan berita baik tentang Yesus Kristus kepada orang. Dia tahu bahawa dia akan mati pada suatu hari nanti, tetapi dia tidak menganggap hal itu sebagai pengakhiran cerita hidup. Paulus menulis kepada para pengikut Yesus di Korintus, “Apabila tubuh yang fana sudah diganti dengan tubuh yang abadi, dan tubuh yang akan mati sudah diganti dengan tubuh yang tidak dapat mati, maka berlakulah apa yang tertulis di dalam Alkitab, ‘Kematian sudah dilenyapkan, dan kemenangan sudah tercapai!’ ” (1 Korintus 15:54). Matlamat hidup Paulus adalah memberitahu orang lain bahawa Yesus, Penyelamat kita sudah memberikan nyawa-Nya di atas kayu salib, agar dengan percaya kepada Dia, kita dapat menerima pengampunan untuk segala dosa kita serta memiliki kehidupan kekal.

Kita bukanlah seperti watak utama dalam sebuah filem yang dia selalu terselamat daripada ancaman kematian. Harinya akan tiba apabila kehidupan fana kita akan berakhir sama ada oleh kematian atau kedatangan semula Kristus. Tetapi oleh kasih dan belas kasihan Tuhan, cerita kehidupan anda dan saya akan “bersambung.”