Setiap kali saya mendekati tanaman bunga ros atau jambangan bunga, saya tidak dapat menahan diri untuk menarik sekuntum bunga ke arah hidung saya untuk menikmati bau harumnya. Wangian itu menggembirakan hati saya serta menimbulkan perasaan senang hati dalam diri saya.

Dalam surat kepada jemaah Kristian di Korintus berabad-abad tahun lalu, rasul Paulus mengatakan bahawa kerana kita dimiliki Kristus, Tuhan “menggunakan kami agar berita tentang Kristus tersebar seperti bau yang harum semerbak ke merata tempat” (2 Korintus 2:14). Melalui kuasa-Nya kita dapat hidup dalam kemenangan, menggantikan keegoan kita dengan kasih dan kebaikan-Nya, serta memberitakan penyelamatan-Nya. Apabila kita melakukan perkara ini, kita sememangnya seperti bau kemenyan yang harum, yang dipersembahkan kepada Tuhan.

Paulus kemudian memberi imej kedua, dengan menggambarkan orang Kristian sebagai “surat yang ditulis oleh Kristus” (3:3). Surat kehidupan kita tidak ditulis dengan dakwat biasa, tetapi ditulis oleh Roh Tuhan. Tuhan mengubah kita dengan menulis firman-Nya dalam hati kita untuk dibaca oleh orang lain.

Kedua-dua gambaran firman ini mendorong kita membenarkan keindahan Kristus dipancarkan dalam kita agar kita dapat membawa orang lain kepada-Nya. Dialah yang dimaksudkan Paulus dalam Efesus 5:2, yang “… mengasihi kita. Dia mengorbankan nyawa-Nya bagi kita, sebagai suatu persembahan yang harum dan korban yang menyenangkan hati Allah.”