E-mel daripada seorang pelajar saya dalam kelas penulisan di universiti menunjukkan perasaannya yang cemas. Pengakhiran semester sudah tiba, dan dia menyedari bahawa dia perlu memiliki keputusan yang lebih baik untuk menyertai acara sukan. Apakah yang boleh dilakukannya? Dia telah tertinggal beberapa tugasan, oleh itu saya memberinya dua hari untuk menyiapkan tugasan tersebut supaya dia dapat memperbaiki keputusannya. Responsnya, “Terima kasih, saya akan menyiapkan tugasan itu.”
Dua hari kemudian—tempoh penghantaran telah pun tiba, tetapi tiada tugasan yang dihantar. Dia tidak menyokong kata-katanya dengan perbuatan.
Yesus menceritakan tentang seorang pemuda yang melakukan perkara yang serupa. Ayah pemuda itu meminta dia melakukan kerja di ladang anggur. Si anak menjawab, “Baiklah ayah” (Matius 21:30). Tetapi dia hanya berkata-kata tanpa tindakan.
Dalam memberi komen terhadap kisah ibarat ini, Matthew Henry merumuskan: “Tunas dan bunga bukanlah buah.” Tunas dan bunga mewakili kata-kata kita, yang menghasilkan jangkaan tentang apa yang kita mungkin akan lakukan, adalah sia-sia tanpa hasil buah daripada perbuatan kita. Yesus merujuk kepada pemimpin agama yang bercakap tentang ketaatan tetapi mereka sendiri tidak mahu bertaubat. Walau bagaimanapun, kata-kata ini juga merujuk kepada kita. Hanya apabila kita mengikuti Yesus dengan perbuatan dalam kebenaran (1 Yohanes 3:18), bukan dengan membuat janji-janji kosong, barulah kita dapat memuliakan Tuhan dan Penyelamat kita.
Perbuatan kita yang mentaati Tuhan akan menunjukkan kasih, hormat, serta pujian kepada-Nya, bukan sekadar kata-kata kosong yang diucapkan untuk menampakkan kehebatan diri.