Mengapakah seorang pemandu yang mabuk tidak cedera dalam kemalangan, tetapi mangsanya yang tidak mabuk cedera teruk? Mengapakah orang jahat berjaya sementara orang baik sengsara? Berapa kerapkah anda keliru dengan hal-hal yang berlaku dalam hidup anda sehingga anda menyeru, “Tidakkah Tuhan peduli?”
Habakuk bergelut dengan persoalan yang sama apabila dia melihat situasi yang membimbangkan di Yehuda, bahawa kejahatan dan ketidakadilan semakin berleluasa (Habakuk 1:1-4). Kekeliruannya menyebabkan dia bertanya kepada Tuhan tentang bila Dia akan bertindak dan membaiki situasi. Jawapan Tuhan membingungkannya.
Tuhan berkata bahawa Dia akan menggunakan orang Babilonia sebagai jawapan kepada situasi di Yehuda. Umat Babilonia terkenal dengan kekejaman mereka (ayat 7). Mereka menggunakan keganasan (ayat 9) dan hanya menyembah kepada kekuatan tentera serta tuhan-tuhan palsu mereka (ayat 10-11).
Ketika kita tidak memahami cara Tuhan, kita perlu percaya sepenuhnya kepada perwatakan-Nya yang tidak pernah berubah. Itulah yang dilakukan oleh Habakuk. Dia percaya bahawa Tuhan ialah Tuhan yang adil, berbelas kasihan dan benar (Mazmur 89:14). Dalam masa yang sama, dia belajar untuk melihat situasinya dari sudut perwatakan Tuhan dan bukan melihat perwatakan Tuhan daripada konteks situasinya sendiri. Dia merumuskan, “Engkaulah TUHAN Raja yang memberi aku kekuatan, seperti kaki rusa, kakiku Engkau kukuhkan, dan keselamatanku Engkau jaga di pergunungan (Habakuk 3:19).