Hari itu seorang sahabat bercerita dengan seronoknya kepada saya selama 10 minit, tentang langkah pertama anak buahnya yang baru berumur 1 tahun. Budak lelaki ini kini boleh berjalan! Sejenak kemudian, saya terfikir betapa peliknya kelakuan kami di hadapan orang lain yang mungkin terdengar perbualan kami. Ramai orang boleh berjalan. Apalah sangat yang perlu dihebohkan?
Saya menyedari bahawa zaman kanak-kanak mempunyai kualiti keistimewaan yang semakin pudar di sepanjang kehidupan kita. Ketika saya berfikir tentang cara kita melayani kanak-kanak, saya bersyukur akan fakta bahawa Tuhan memilih perkataan “anak-anak” untuk menggambarkan perhubungan kita dengan Dia. Perjanjian Baru mengumumkan bahawa kita ialah anak-anak Tuhan, yang mempunyai segala hak serta keistimewaan yang sudah disediakan oleh Tuhan (Roma 8:16-17). Yesus (satu-satunya Anak Tuhan) datang, seperti yang diberitakan kepada kita, untuk memungkinkan kita dijadikan sebagai anak-anak lelaki dan perempuan dalam keluarga Tuhan.
Saya membayangkan bahawa Tuhan memandang setiap langkah rohani saya dengan penuh minat seakan-akan seorang bapa yang melihat anaknya mengambil langkah pertama.
Mungkin apabila rahsia alam semesta ini akhirnya didedahkan, kita dapat mengetahui matlamat sebenar dalam melihat kanak-kanak bertumbuh. Kemungkinan Tuhan mengabulkan waktu istimewa ini kepada kita untuk membawa kita menuju kasih sejati-Nya. Melalui kasih-Nya yang melimpah-limpah ini, pengalaman kita di bumi ini sebenarnya hanyalah sepintas lalu.