Pada permulaan hidup pekerjaan saya, saya mempunyai seorang rakan sekerja yang sangat suka menyumpah menggunakan nama Tuhan. Dia selalu mengejek orang Kristian yang baharu dalam iman mereka dan sesiapa juga yang cuba menginjilinya. Pada hari saya berhenti kerja disebabkan berpindah ke daerah lain serta tempat pekerjaan yang baru, saya teringat akan rakan sekerja ini yang mungkin tidak akan menjadi pengikut Yesus.

Dua tahun kemudian, saya datang melawat tempat kerja lama saya. Orang itu masih bekerja di situ, tetapi saya menyaksikan perubahan yang begitu ketara dalam dirinya! Lelaki ini, yang dahulunya seorang penentang iman, sekarang merupakan contoh terbaik tentang maknanya menjadi seorang “manusia baru” dalam Kristus (2 Korintus 5:17). Sehingga kini, lebih 30 tahun kemudian, dia masih giat memberitahu orang lain bagaimana Yesus “menemui dia, seorang yang berdosa.”

Saya kemudian terfikir bahawa jemaah Kristian zaman awal mungkin melihat hal yang serupa dalam diri Paulus, yang dahulunya penindas mereka yang berapi-api—satu teladan yang menakjubkan mengenai makna menjadi manusia baru (Kisah Rasul-Rasul 9:1-22). Alangkah hebatnya kesaksian dalam kehidupan kedua-dua orang ini, memberi pengharapan bagi mereka yang berfikir bahawa mereka tidak lagi boleh diselamatkan!

Yesus menjangkau Paulus dan bekas rakan sekerja saya—dan saya sendiri. Sehingga hari ini, Dia masih menjangkau mereka yang “tidak dapat dijangkau” serta menjadi contoh kepada kita tentang cara untuk berkongsi Berita Baik kepada orang lain.