Masa itu ialah tahun 1780, dan Robert Raikes berasa terbeban untuk mereka yang miskin, kanak-kanak buta huruf di kawasan kejiranannya di London. Dia menyedari bahawa tiada apa-apa usaha yang dilakukan untuk membantu kanak-kanak ini, oleh itu, dia membuat keputusan untuk membawa perubahan.

Dia mengupah beberapa orang wanita untuk menyediakan sekolah bagi mereka pada hari Ahad. Dengan menggunakan Alkitab sebagai buku teks, para guru mengajar kanak-kanak termiskin di London ini untuk membaca serta memperkenalkan kebijaksanaan yang terdapat dalam Alkitab kepada mereka. Tidak lama kemudian, lebih kurang 100 kanak-kanak menghadiri kelas ini dan mereka menikmati makan tengah hari di kawasan yang selamat dan bersih. Sekolah minggu ini mula menyentuh hidup beribu-ribu kanak-kanak lelaki dan perempuan. Pada tahun 1831, sekolah-sekolah minggu di Great Britain telah menjangkau lebih daripada sejuta kanak-kanak—hanya kerana seorang lelaki memahami kebenaran: “Orang baik tahu akan hak orang miskin, tetapi orang jahat tidak memahami hal itu” (Amsal 29:7).

Secara nyata Yesus sangat prihatin terhadap mereka yang bergelut dalam kehidupan. Dalam Matius 25, Dia memberitahu para pengikut-Nya menunjukkan persediaan akan kedatangan Tuhan dengan memberi makanan kepada mereka yang lapar, air kepada yang haus, rumah bagi orang yang tiada tempat tinggal, memberi pakaian kepada yang telanjang, membantu dan menghiburkan orang yang sakit atau dipenjarakan (ayat 35-36).

Apabila kita bersaksi tentang Kristus, kita menghormati Penyelamat kita yang penuh belas kasihan, dan memperhatikan orang lain yang juga disayangi oleh Tuhan.