Suatu petang kawan saya menunjukkan kepada saya satu daripada tiga plak hiasan yang akan menjadi sebahagian daripada penghias dinding di ruang tamunya. “Lihat, saya sudah mendapat Kasih,” katanya, sambil memegang plak dengan perkataan tertulis di atasnya. “Iman dan Pengharapan sudah dipesan.”

Jadi Kasih datang dahulu, saya berfikir. Iman dan Pengharapan datang menyusul!

Kasih memang datang dahulu. Malah, ia berasal daripada Tuhan. Satu Yohanes 4:19 mengingatkan kita bahawa “Kita mengasihi orang lain, kerana Allah mengasihi kita terlebih dahulu.” Kasih Tuhan, yang digambarkan dalam 1 Korintus 13 (dikenali sebagai “bab Kasih”), menerangkan ciri-ciri kasih yang sebenar apabila ia berkata, “Kasih tidak berkesudahan” (ayat 8, Alkitab TB).

Iman dan pengharapan adalah penting untuk orang percaya. Kerana kita menjadi benar oleh iman, maka “kita hidup dalam kedamaian dengan Allah melalui Yesus Kristus, Tuhan kita” (Roma 5:1). Dan pengharapan dijelaskan di dalam Ibrani 6 sebagai “sauh yang menjadi pegangan hidup yang kuat dan aman” (ayat 19).

Suatu hari nanti kita tidak akan memerlukan iman dan pengharapan. Iman akan menjadi kelihatan dan pengharapan kita akan menjadi kenyataan apabila kita bersemuka dengan Penyelamat kita. Tetapi kasih adalah abadi, kasih berasal daripada Tuhan dan Tuhan itu kasih (1 Yohanes 4:7-8). “Sementara ini ada tiga perkara yang harus tetap dilakukan: percaya, berharap, dan mengasihi orang lain. Tetapi yang paling penting daripada ketiga-tiganya adalah mengasihi orang lain” (1 Korintus 13:13).