Untuk mengesan masalah kesihatan sebelum ia menjadi serius, doktor mencadangkan pemeriksaan fizikal rutin. Kita boleh melakukan perkara yang sama untuk kesihatan rohani kita dengan bertanya beberapa soalan berdasarkan perintah yang terutama (Markus 12:30) yang dirujuk Yesus.
Adakah saya mengasihi Tuhan dengan sepenuh hati kerana Dia mengasihi saya terlebih dahulu? Yang mana lebih kuat, keinginan saya untuk keuntungan duniawi atau harta yang saya miliki dalam Kristus? (Kolose 3:1). Dia berhasrat agar kedamaian-Nya memerintah hati kita.
Adakah saya mengasihi Tuhan dengan segenap jiwa saya? Adakah saya mendengar Tuhan memberitahu saya tentang siapa saya? Adakah saya beralih daripada keinginan yang mementingkan diri sendiri? (ayat 5) Adakah saya menjadi lebih berbelas kasihan, baik hati, rendah hati, lemah lembut, dan sabar? (ayat 12).
Adakah saya mengasihi Tuhan dengan segenap akal saya? Adakah saya memberi tumpuan kepada hubungan saya dengan Anak-Nya atau saya membiarkan fikiran saya melayang ke mana jua sesukanya? (ayat 2). Adakah pemikiran saya membawa kepada masalah atau penyelesaian? Kepada kesatuan atau perpecahan? Pengampunan atau balas dendam? (ayat 13).
Adakah saya mengasihi Tuhan dengan segenap kekuatan saya? Adakah saya bersedia untuk dilihat sebagai lemah supaya Tuhan boleh menunjukkan kekuatan-Nya bagi pihak saya? (ayat 17). Adakah saya bergantung kepada anugerah-Nya untuk menjadi kuat dalam Roh-Nya?
Sebagaimana kita membiarkan “perkataan Kristus diam dengan segala kekayaannya di antara kita … dengan segala hikmat” (ayat 16, Alkitab TB), Dia akan melengkapi kita untuk membina satu sama lain sementara kita menjadi kuat secara rohani dan berguna bagi-Nya.