Seorang lelaki sentiasa bimbang tentang segala sesuatu. Kemudian suatu hari kawan-kawannya mendengar dia bersiul gembira dan kelihatan lebih santai. “Apa yang berlaku?” Mereka bertanya kepadanya dalam kekaguman.

Dia berkata, “Saya membayar seseorang untuk khuatir bagi pihak saya.”

“Berapa banyak kamu membayarnya?” mereka bertanya.

“Dua ribu ringgit seminggu,” jawabnya.

“Wah! Bagaimana kamu mampu?”

“Saya memang tidak mampu,” katanya, “tetapi itulah menjadi kekhuatirannya.”

Walaupun ini cara lucu untuk menangani tekanan, namun ia tidak berlaku dalam kehidupan sebenar; sebagai anak-anak Tuhan kita boleh menyerahkan kekhuatiran kita kepada Seseorang yang mengawal segala-galanya dengan sempurna—terutamanya—ketika kita tidak berasa semuanya terkawal.

Nabi Yesaya mengingatkan kita bahawa Tuhan “menyuruh bintang keluar” dan “memanggil nama setiap bintang (40:25-26). Oleh sebab “kuasa-Nya amat besar—tidak satu bintang pun yang hilang!” (ayat 26). Dan sebagaimana Tuhan mengenali nama setiap bintang, Dia mengenali kita secara individu dan peribadi. Setiap kita di bawah penjagaan-Nya (ayat 27).

Jika kita cenderung berasa khuatir, kita boleh menyerahkan kekhuatiran itu kepada Tuhan. Dia tidak pernah terlalu letih atau terlalu penat untuk memberi perhatian kepada kita. Dia mempunyai segala hikmat dan kuasa, dan Dia suka menggunakannya bagi pihak kita. Tuhan yang Maha Kudus yang memandu arah bintang memeluk kita dengan tangan-Nya yang penuh kasih.