Sebagai seorang gadis muda saya pergi dengan ibu bapa saya untuk melawat moyang saya, yang tinggal berdekatan sebuah ladang. Kawasannya telah dipagari dengan pagar elektrik, yang menghalang lembu daripada meragut rumputnya. Apabila saya bertanya kepada ibu bapa saya jika saya boleh bermain di luar, mereka bersetuju, tetapi menjelaskan bahawa menyentuh pagar akan mengakibatkan kejutan elektrik.
Sedihnya saya mengabaikan amaran mereka, lalu meletakkan jari pada dawai berduri itu, dan terkena renjatan elektrik yang cukup kuat untuk mengajar seekor lembu. Pada waktu itu saya mengetahui bahawa ibu bapa saya telah memberi amaran kepada saya kerana mereka mengasihi saya dan tidak mahu saya tercedera.
Apabila Tuhan melihat orang Israel kuno di Yerusalem membuat dan menyembah berhala, Dia “terus menerus mengutus nabi untuk memberikan amaran kepada umat-Nya, kerana Dia hendak menyelamatkan mereka” (2 Tawarikh 36:15). Tuhan berfirman melalui nabi Yeremia, tetapi umat itu berkata, “Kami akan tetap degil dan jahat mengikut kemahuan kami” (Yeremia 18:12). Oleh itu, Tuhan membenarkan Nebukadnezar memusnahkan Yerusalem dan menawan sebahagian besar penduduknya.
Mungkin Tuhan memberi amaran kepada anda hari ini tentang beberapa dosa dalam hidup anda. Jika demikian, bersemangatlah. Itulah bukti kasih kurnia-Nya kepada kita (Ibrani 12:5-6). Dia melihat apa yang di hadapan dan mahu kita mengelakkan masalah yang akan datang.