Masanya sudah tiba untuk memasang bingkai pada tingkap-tingkap rumah kami. Oleh itu, saya menggosok, melicinkan, dan memasukkan pengisi kayu untuk menyediakan bingkai yang lama itu untuk dicat. Selepas semua usahaku–termasuk lapisan cat asas dan beberapa cat yang sangat mahal–bingkai itu kelihatan cukup baik. Tetapi ia tidak kelihatan baharu. Satu-satunya cara untuk membuat bingkai kelihatan baharu adalah menggantikan kayu lama itu.

Masih eloknya jika bingkai tingkap rosak disebabkan oleh cuaca, kerana ia kelihatan “cukup baik” bagi pandangan kita. Tetapi apabila ia mengenai hati yang rosak kerana dosa, usaha memperbetul keadaan semata-mata adalah tidak cukup. Dari sudut pandang Tuhan, semua perkara perlu menjadi baru (2 Korintus 5:17).

Itulah keindahan penyelamatan melalui iman dalam Yesus. Dia mati di atas salib sebagai korban untuk dosa kita dan bangkit daripada kematian untuk memaparkan kuasa-Nya atas dosa dan maut. Hasilnya adalah pada pandangan Tuhan, iman dalam pekerjaan Kristus menjadikan kita “manusia baru” (2 Korintus 5:17) dan menggantikan yang lama dengan “hidup yang baru” (Kisah Rasul-Rasul 5:20). Dengan memandang kepada Yesus dan pekerjaan-Nya di atas salib untuk kita, Bapa syurgawi kita melihat semua orang yang telah meletakkan imannya dalam Yesus sebagai baru dan tanpa cacat cela.

Dosa telah menyebabkan kerosakan besar. Kita tidak dapat memperbetul diri kita sendiri. Kita mesti percaya kepada Yesus sebagai Penyelamat dan membenarkan Dia memberikan kita hidup yang baru.