Apabila Dave Mueller membongkok dan memutarkan kepala paip, air pun mencurah keluar dan masuk ke dalam sebuah baldi biru. Orang di sekitarnya bertepuk sorak. Mereka berpesta apabila melihat air segar mengalir ke dalam masyarakat mereka untuk kali pertama. Memiliki air yang bersih akan mengubah kehidupan golongan ini yang berada di Kenya.

Dave dan isterinya, Joy, bekerja keras untuk memenuhi keperluan kumpulan ini dengan membawa air kepada mereka. Namun mereka tidak berhenti dengan bantuan bekalan air bersih sahaja, mereka juga menceritakan Yesus Kristus kepada orang tempatan.

Lebih dua ribu tahun dahulu, seorang lelaki bernama Yesus berdiri berhampiran sebuah perigi di Samaria dan bercakap dengan seorang wanita yang telah datang ke tempat itu untuk mendapatkan air bersih untuk kesihatan tubuhnya. Tetapi Yesus memberitahu wanita itu bahawa apa yang lebih diperlukannya bukan air yang biasa, melainkan air hidup untuk kehidupan rohaninya.

Setelah sejarah terus melangkah ke hadapan dan sifat kemanusiaan menjadi semakin rumit, kehidupan ini membawa kepada dua kebenaran pada akhirnya: Tanpa bekalan air bersih, kita akan mati. Yang lebih penting daripada itu, tanpa Yesus Kristus, sumber air hidup, kita sudah mati dalam dosa-dosa kita.

Air adalah penting untuk kewujudan kita—baik air fizikal yang mengandung H2O dan air rohani yang diberikan oleh Yesus. Sudahkah anda mengecap air kehidupan yang diberikan oleh Yesus, Sang Penyelamat?