Sekolah menengah yang pernah saya hadiri menuntut pembelajaran bahasa Latin selama 4 tahun. Saya menghargai disiplin yang saya perolehi daripada mata pelajaran itu sekarang, tetapi pada waktu itu ia merupakan satu kerja harian yang membosankan. Guru kami yakin kepada latihan dan pengulangan. Setiap hari dia akan berkata beberapa kali kepada kami “Repetitio est mater studiorum,” yang bermaksud “pengulangan adalah asas pembelajaran.” Kami pula merungut dengan senyap-senyap, “Repetitio est absurdum,” yang bermaksud “Pengulangan tidak masuk akal.”

Sekarang saya menyedari bahawa kerap kali kehidupan bersifat pengulangan—perkara-perkara yang membosankan, tidak memberi ilham, suram yang kita mesti melakukannya berulang kali. “Pengulangan itu adalah perkara biasa dan diperlukan seperti makan roti,” kata Søren Kierkegaard, seorang ahli falsafah berbangsa Denmark. Namun seterusnya dia berkata, “Roti itulah yang memberi kepuasan apabila disertakan doa pujian dan kesyukuran.”

Yang penting adalah kita mengambil setiap tanggungjawab, tidak kira betapa sederhana, rendah, atau remeh, dan meminta Tuhan memberkati dan meletakkannya dalam tujuan yang dimaksudkan-Nya. Dengan cara ini kita mengambil kerja-kerja yang membosankan dan mengubahnya menjadi pekerjaan kudus yang dipenuhi dengan kesan kekekalan yang tidak kelihatan.

Penyair Gerard Manley Hopkins berkata, “Orang yang mengangkat tangan ketika berdoa memberi kemuliaan kepada Tuhan, tetapi seorang lelaki yang memegang serampang, seorang wanita dengan baldi sisa juga memberi kemuliaan kepada Tuhan. Alangkah agungnya Tuhan kita sehingga segala sesuatu memberi kemuliaan kepada-Nya, sekiranya anda berniat berbuat begitu.”

Sekiranya segala yang kita lakukan adalah untuk Kristus, kita akan kagum dengan sukacita dan makna yang kita dapat temukan dalam perkara-perkara yang paling sederhana sekalipun.