Wang Xiaoying (disebut sebagai Shao-ying) tinggal di kawasan pedalaman negara China dalam Wilayah Yunan. Kerana masalah kesihatan, suaminya tidak dapat bekerja di ladang dan ini membebankan keluarga mereka. Ibu mentuanya seringkali mengatakan bahawa segala masalah ini adalah disebabkan oleh iman Xiaoying dalam Tuhan. Maka Xiaoying dilayan dengan teruk dan dia disuruh kembali kepada agama tradisi nenek moyangnya.

Namun suami Xiaoying memerhatikan kehidupannya yang telah berubah, maka dia berkata, “Ibu, tidak cukup bagi Xiaoying seorang sahaja yang percaya kepada Tuhan; kita juga perlu percaya kepada Tuhan!” Kerana perubahan ketara dalam kehidupan isterinya, dia sekarang memikir untuk menerima khabar baik tentang Yesus.

Orang akan memperhatikan hidup kita sebelum mendengar kata-kata kita. Kesaksian yang terbaik menggabungkan perilaku yang baik dengan kata-kata yang bersesuaian sehingga memantulkan perubahan hidup yang dikerjakan Kristus dalam kehidupan kita.

Ini merupakan nasihat Rasul Petrus kepada kita agar kita dapat memperkenalkan Yesus kepada dunia yang dingin. Dia mencabar para pembacanya “berbuat baik” (1 Petrus 3:13), hidup mentaati Kristus, memiliki hati nurani yang baik dan bersedia memberikan jawapan kepada sesiapa sahaja yang meminta kita menjelaskan harapan yang kita miliki (ayat 15). Sekiranya kita melakukan perkara ini, kita tidak ada alasan untuk berasa takut atau malu apabila orang melayani kita dengan buruk atau memfitnah kita kerana kepercayaan kita.

Apa jua keadaan kita, marilah kita bersinar bagi Yesus di mana juga kita berada. Dia dapat memberikan rahmat yang kita perlukan, walaupun menjangkau mereka yang tidak bersetuju dengan kita.