Saya duduk di tepi katil anak perempuan saya dalam sebuah bilik pemulihan selepas dia menjalani pembedahan. Apabila matanya terbuka, dia menyedari badannya yang tidak selesa dan mula menangis. Saya cuba menghiburnya dengan membelai-belai tangannya, tetapi dia semakin sedih. Dengan bantuan seorang jururawat, saya mengangkat dia dari katil ke pangkuan saya. Saya mengelap air mata pada pipinya dan memberitahu bahawa dia akan bertambah baik.
Melalui nabi Yesaya, Tuhan memberitahu umat Israel, “Aku akan menghibur kamu di Yerusalem, seperti ibu menghibur anaknya” (Yesaya 66:13). Tuhan berjanji untuk memberi keamanan kepada umat-Nya dan membawa mereka seperti seorang ibu menggendong anak di sisinya. Mesej lembut ini adalah untuk orang yang mempunyai rasa hormat terhadap Tuhan—orang yang “takut dan taat kepada-Nya” (ayat 5).
Kemampuan dan keinginan Tuhan untuk menghibur dan menolong umat-Nya muncul lagi dalam surat-surat Paulus kepada orang percaya di Korintus. Paulus berkata bahawa Tuhan yang telah “menolong kami semasa kami mengalami kesusahan” (2 Korintus 1:3-4). Tuhan adalah lembut dan bersimpati terhadap kita apabila kita berada dalam kesusahan.
Suatu hari nanti, semua penderitaan akan berakhir. Air mata akan tiada lagi selama-lamanya, dan kita akan aman dalam tangan Tuhan selama-lamanya (Wahyu 21:4). Sehingga waktu itu tiba, kita dapat bergantung kepada kasih Tuhan untuk menyokong kita sewaktu kita menderita.