Tekanan daripada orang sebaya merupakan sebahagian daripada kehidupan setiap hari. Kadangkala kita membuat keputusan berdasarkan apa yang akan difikirkan atau dikatakan orang, bukan berdasarkan keyakinan diri sendiri dan apa yang akan menyenangkan Tuhan. Kita bimbang bahawa kita akan dihakimi dan ditertawakan.
Rasul Paulus juga mengalami tekanan daripada golongan sebayanya. Sesetengah orang Kristian Yahudi percaya bahawa orang bukan Yahudi perlu disunat untuk benar-benar diselamatkan (Galatia 1:7; lihat 6:12-15). Bagaimanapun, Paulus berdiri teguh atas pendiriannya. Dia terus berkhutbah bahawa hanya kerana rahmat Tuhan, orang diselamatkan kerana orang percaya kepada Yesus; tiada hasil usaha manusia diperlukan. Atas sebab inilah Paulus difitnah sebagai rasul lantikan diri sendiri. Mereka juga berkata Injil yang diberitakan Paulus tidak pernah disetujui oleh para rasul (Galatia 2:1-10).
Walaupun berada di bawah tekanan itu, Paulus sangat jelas siapa yang dilayani-Nya—Kristus. Persetujuan daripada Tuhan yang terpenting, bukan persetujuan manusia. Dia menjadikan itu sebagai matlamatnya, untuk menyenangkan hati Tuhan, bukan menyenangkan manusia. (1:10).
Dalam hal yang sama, kita juga merupakan hamba-hamba Tuhan. Kita melayani Tuhan sama ada orang menghormati atau menghina kita, sama ada mereka memfitnah atau memuji kita. Pada satu hari “kita masing-masing harus mempertanggungjawabkan segala perbuatan kita kepada Allah” (Roma 14:12). Ini tidak bererti kita tidak perlu mempedulikan apa yang difikirkan atau dikatakan orang, tetapi yang penting sekali ialah soal menyenangkan Tuhan dijadikan sebagai keutamaan kita. Kita mahu mendengar Penyelamat kita berkata, “Bagus, kamu hamba yang baik dan setia!” (Matius 25:23).
Dr. Jaime Fernández Garrido seorang pengarah rancangan radio dan televisyen Injil Born Again (Lahir Semula), penulis beberapa buah buku, dan penggubah lebih daripada 400 lagu pujian dan korus gereja.