Lebih daripada lima puluh tahun yang lalu, filem animasi A Charlie Brown Christmas (Hari Krismas Charlie Brown), telah julung kalinya disiarkan sebagai rancangan televisyen di Amerika. Beberapa eksekutif rangkaian berfikir bahawa rancangan tersebut tidak akan dipedulikan, dan beberapa orang lagi berasa risau sekiranya ayat-ayat Alkitab yang disebut akan menyinggung perasaan penonton. Beberapa orang pula menginginkan pencipta cerita tersebut, Charles Schulz, mengeluarkan kisah mengenai Krismas daripada rancangan tersebut, tetapi dia tetap mahu cerita Krismas itu dimasukkan. Rancangan tersebut berjaya menjadi kegemaran dan telah ditayangkan berulang kali setiap tahun sejak tahun 1965.
Apabila Charlie Brown, pengarah lakonan pentas Krismas kanak-kanak yang geram berasa kecewa terhadap nilai komersial musim perayaan, dia bertanya sama ada sesiapa tahu akan maksud sebenar Krismas. Linus membaca daripada Lukas 2:8-14 yang merangkumi “Pada hari ini di kota Daud telah lahir Penyelamat kamu, Kristus, Tuhan. Inilah tandanya: Kamu akan menemui seorang bayi yang dibedung dengan kain dan berbaring di dalam palung. Tiba-tiba malaikat itu disertai oleh sepasukan besar malaikat syurga, yang memuji-muji Allah, Termulialah Allah di langit yang tertinggi! Dan di atas bumi, sejahteralah manusia yang menyenangkan hati-Nya!” (ayat 11-14). Lalu Linus berkata, “Itulah maksud sebenar Krismas, Charlie Brown.”
Pada musim yang penuh dengan keraguan serta keinginan kita sendiri, marilah kita memikirkan semula tentang kasih agung Tuhan yang diceritakan dalam kisah Yusuf, Maria, Yesus sebagai bayi, dan para malaikat yang mengumumkan kelahiran Penyelamat.
Itulah maksud sebenar Krismas.